Hukum Tarikat Sufiyyah




Hukum Tariqat Sufiyyah

Soalan :Adakah tariqat itu dianjurkan oleh syarak atau tidak? Adakah termasuk di dalam amalan tariqat memukul-mukul badan dengan pedang atau lembing, memegang ular-ular berbisa, mengunyah kaca dan mata pisau cukur?

Jawapan :

Tasawuf yang sebenar ialah berusaha untuk memilih akhlaq sepertimana akhlaq RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam di dalam amalan, percakapan dan segala tindakan serta berpegang teguh dengan apa yang disampaikan oleh syarak iaitu dengan cara mematuhi segala perintah , menjauhi segala larangan dan menyerah diri kepada ketentuan qadha' dan qadar. Ahli tasawuf yang benar ialah seorang yang tidak beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan aula (utama) disamping menjauhkan diri daripada perkara haram dan makruh.

Dan ahli tasawuf juga tidak menjadikan tasawuf sebagai sumber rezeki dan kehidupan serta tidak menggunakan helah atau mengeluarkan kata-kata melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Dia juga tidak berhasad dengan dan membenci melainkan kerana ALLah dan menghadapi kejahatan dengan kebaikan.

Sekiranya sesuatu tariqat bersifat seperti di atas maka ia di kira termasuk di dalam syariat kerana ia berakhlaq dengan akhlak dan adab-adab Islam. Sekiranya ia bercanggah dengan apa yang disebut tadi contohnya : ahli tariqat itu mengeluarkan kata-kata yang tidak diperakui oleh syariat atau berlebih-lebih atau menyifatkan imam-imam tasawuf dengan sifat-sifat yang berlebihan seperti menganggap mereka itu sehingga melebihi taraf sebagai seorang manusia, atau mengambil kesempatan daripada tasawuf untuk mengaut harta dan sumber pendapatan hidup atau malas untuk bekerja sehingga dia bergantung kepad aorang ramai, maka tasawuf seperti ini adalah satu kejahilan. Adakala ia membawa kepada kesesatan dan bukannya tasawuf yang digariskan oleh syarak.

Di antara syarat-syarat yang mesti dimiliki oleh ahli tariqat adalah seperti berikut :

a. Ahli tariqat mestilah 'alim (pakar) dengan ilmu fiqh dan syariat Islam atau sentiasa belajar dengan alim ulama.
b. Di hendaklah beramal dengan ilmunya.
d. Dia hendaklah melazimi adab-adab Islam
e. Dia sentiasa mendampingi orang-orang soleh untuk mencontohi mereka.

Sekiranya dia tidak memiliki satu sahaja daripada syarat-syarat di atas, maka dia bukanlah seorang sufi yang sebenar. Manakala pertanyaan mengenai hukum memukul-mukul badan dengan tombak atau pedang, memamah kaca dan memegang ular-ular berbisa. Sekiranya perlakuan itu berlaku daipada seorang lelaki yang bertaqwa, ahli ibadah dan soleh, maka tidaklah menjadi tegahan sekiranya dianggap sebagai karomah atau kemuliaan daripada ALlah ta'ala.

Sekiranya lelaki itu tidak bertaqwa atau cuai daripada melaksanakan syariat, maka perkara itu dikira sebagai istidraj - yang mana ALLah subhanahu wa ta'ala memberinya perkara seperti itu supaya dia menjadi bertambah tertipu dengan dirinya sendiri, kerana dia merasakan sudah mencapai peringkat orang soleh sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Kemungkinan juga perkara-perkara itu boleh dihasilkan melalui kebiasaan dan latihan sepertimana ia terjadi pada kebanyakan orang-orang kafir. Penghuraiannya secara detail akan didatangkan selepas ini.

Sumber ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Menurut pendapat Prof Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir) apabila ditanyakan mengenai tarekat sufi dan tasawuf. Maka beliau telah mengatakan begini :

Jawapan :

Tasawuf adalah kaedah pendidikan kerohanian dan perilaku yang membentuk seorang Muslim hingga mencapai tingkat ihsan, yang didefinisikan oleh Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :

" Bahawa kamu menyembah ALLah subahanahu wa ta'ala seakan-akan kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu." (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 1m hlmn 27; Bukhari, Sohih Bukhari, vol 1, hlmn 27; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 1, hlmn 37).

Jadi tasawuf adalah program pendidikan yang menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa manusia daripada seluruh penyakit-penyakitnya yang menjauhkan manusia dari ALLah subahanahu wa ta'ala dan membetulkan kelakuan dan perilaku yang menyimpang dalam segala hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan ALlah subahanahu wa ta'ala, hubungan sesama manusia dan dengan ego diri. Tarekat tasawuf adalah lembaga yang melaksanakan pembersihan jiwa dan pelurusan perilaku tersebut. Manakala syeikh adalah khadim atau ustaz yang bertugas melakukan hal itu bersama penuntut atau murid.

Jiwa manusia pada tabiatnya merupakan tempat yang di dalamnya terhimpun pelbagai penyakit-penyakit seperti sombong, 'ujub (bangga diri/bongkak), angkuh, egois, kikir (kedekut), marah, riya' (menunjuk-nunjuk), dorongan maksiat dan derhaka, hasrat memuaskan diri dan membalas dendam, benci, dengki, menipu, tamak, dan loba.

ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman dalam mengungkapkan perkataan isteri al Aziz (penguasa Mesir) yang bererti : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), sebab sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Yusuf:53)

Oleh itu, orang-orang yang awal daripada para pendahulu kita bersikap arif dan cerdas memandang pentingnya pendidikan akhlaq dan membersihkan peribadi daripada penyakit-penyakit ego agar dapat berjalan selaras dengan masyarakat dan beruntung di dalam melangkah menuju Tuhannya.

Tarekat tasawuf mesti dilengkapi dengan beberapa syarat antara lain:

Pertama : Berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah sebab tarekat tasawuf itu adalah kaedah al Quran dan Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi al Quran dan Sunnah, maka bukan bahagian dari tarekat, bahkan tarekat sendiri menolak perkara itu dan melarangnya.

Kedua : Tarekat tidak mengajarkan ajaran-ajaran yang terpisah dari syariat, tetapi ke arah mempersiapkan manusia menuju kepada intinya. Tasawuf mempunyai tiga fenomena pokok yang seluruhnya dilandaskan di atas ajaran al Quran al Karim iaitu :

1. Menumpukan perhatian terhadap keadaan jiwa, mengawasinya dan membersihkannya dari unsur tercela. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :

"Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka ALLah subahanahu wa ta'ala mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang mneyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya, merugilah bagi orang-orang yang mengotorinya (jiwa itu)." (Surah Asy Syams :7-10)

2. Banyak-banyaklah berzikir dan mengingat ALLah subahanahu wa ta'ala. ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :

"Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLah subahanahu wa ta'ala, zikirlah sebanyak-banyaknya". (Surah al Ahzab : 41)

Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Sentiasa basahkan lidahmu dalam berzikir mengingati ALlah subahanahu wa ta'ala (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 4, hlmn 188; Tirmidzi, Sunan Tirmidzi vol 5, hlmn 485; Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, vol 2 hlmn 1246; Ibnu Hibban, Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlmn 96 ; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)

3. Zuhud terhadap dunia dan tidak bergantung dengannya, dan cinta terhadap akhirat. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka (kesenangan-kesenangan duniawi yang bersifat sementara dan tidaklah kekal). Dan, sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al An'am :32)

0 comments:

Post a Comment