Adab dalam berkhilaf


Adab Dalam Khilaf Ulamak 3
Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan Syari’at baru. Namun begitu ia merupakan manhaj atau metod untuk memahami Syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya.

Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini dan ada di antaranya sudah lenyap ditelan zaman tanpa pengikut dan tidak diketahui adanya katakata atau fatwa mereka, melainkan apa yang disebut dalam kitab-kitab “al-Khilaf” (perbandingan Mazhab) dan kitab-kitab mazhab yang masih kekal.6

Bolehlah kita bahagikan mazhab-mazhab ini kepada tiga bahagian:

• Mazhab yang tidak berkembang lama

• Mazhab Syi’ah dan Khawarij

• Mazhab fiqh yang paling masyhur bagi imam-imam Ahli Sunnahwa al-Jama’ah

MAZHAB YANG TIDAK BERKEMBANG

Para mujtahid pada zaman ini sebenarnya cukup ramai, terdiri daripada tabi’in atau tabi’i al-tabi’in atau mereka yang berikutnya, tetapi kebanyakan mereka ini tidak ada orang yang mengumpul dan menyebarkan mazhab mereka di kalangan orang Islam dan mamfatwakannya. Akhirnya mazhab ini makin lama makin mengecil. hampir pupus dan hilang fiqhnya, kecuali pandangan mereka yang ditemui bertaburan di dalam kebanyakan kitab tafsir bil ma’thur, syarah-syarah hadith dan kitab-kitab fiqh mazhab yang kekal.

Di antara tokoh-tokoh mujtahid ini ialah seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Sa’id bin al-Musayyib, Ibrahim al- Nakha’iy, Sufyan al-Thauri. al-Imamal-Auza’iy, Ibn Jarir al-Tabari, Daud
al-Zahiri dan lain-lain lagi.

Sumber rujukan :

6 Abd al-Karim Zaidan (1969), “Madkhal Li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah”. Baghdad, Matba’ah al-’Ani. hal : 155


Adab Dalam Khilaf Ulamak 4
MAZHAB SYI’AH DAN KHAWARIJ

Terdapat beberapa mazhab lain yang masih hidup, kekal, berkembang dan diberi perhatian. Namun begitu ijtihad pendokong-pendokongnya telah terkeluar dari lingkungan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari segi Usul (prinsip) dan Furu’. Mazhab yang terpenting sekali ialah Syi’ah dan Khawarij, kemudian yang paling masyhur sekali ialah:

• Mazhab al-Ibadiyyah dari golongan al-Khawarij
• Mazhab al-Imamiyyah dari Syi’ah
• Mazhab al-Zaydiyyah dari Syi’ah juga tetapi ia lebih dikenali sebagai mazhab yang sedehana dan lebih hampir kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah

MAZHAB-MAZHAB FIQH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH

Mazhab fiqh yang termasyhur dari kalangan imam Ahli al-Sunnah waal-Jama’ah yang masih terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut:

1. Imam Abu Hanifah (80-150H)
2. Imam Malik bin Anas (93-179H)
3. Imam al-Syafi’i (150-204H)
4. Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)


Adab Dalam Khilaf Ulamak 5
KONSEP IKHTILAF ATAU KHILAF

Ikhtilaf dalam bahasa Arab membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara dalam ertikata setiap orang mengambil jalan yang berbeza sama ada dalam perkataan mahu pun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama, oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan “ ”مضادة (mudadah), jadi ia membawa erti yang sama dengan ikhtilaf, walaupun maknanya lebih umum.7

Ikhtilaf menurut istilah fuqaha’ bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat.8

Al-Imam al-Syatibi berpendapat al-Khilaf ialah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syara’ dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu ia tidak diambilkira kerana lahir daripada hawa nafsu, sepertimana tidak mengambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syara’ yang sabit secara qat’iy. Manakala Ikhtilaf menurut Syatibi ialah:

• Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat’iy padanya, atau

• Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.9

Penerangan dan Sumber Rujukan :

7 Kerana khilaf itu sebahagian daripada (al-did) dan tidak semestinya setiap dua benda yang berbeza itu berlawanan, walaupun dua benda yang berlawanan itu berbeza. Lihat Ibn Manzur (t.t) “Lisan al-Arab”, Matba’ah al-Dar al-Arabiyyah Lial-Ta’lif wa al-Tarjamah. Kaherah. jld :1, hal : 430

8 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi al-Gharnati (t.t), “al-Muwafaqat”, Kaherah. Matba’ah ‘Ali Subaih Wa Auladihi. jld : 4, hal : 110


Adab Dalam Khilaf Ulamak 6

Namun demikian perbezaan di antara Ikhtilaf dan Khilaf yang dikatakan oleh al-Syatibi itu hanyalah istilah sahaja yang dilihat tidak ada kekuatan sandarannya, kerana para fuqaha’ telah menggunakan al-khilaf dan al-ikhtilaf dengan makna yang sama sahaja iaitu “Sesuatu yang tidak disepakati para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang diperkatakan itu”.10

LARANGAN IKHTILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dari sini dapat difahami beberapa perkara berikut:

• Pertama : Ikhtilaf adalah sesuatu yang boleh berlaku di kalangan manusia, kerana jika ia mustahil berlaku pasti syara’ tidak akan melarangnya dan tidak menuntut mukallaf meninggalkannya, kerana melarang dari melakukan benda yang mustahil adalah sia-sia.

• Kedua : Apabila ikhtilaf itu sesuatu yang boleh berlaku dan lahir daripada manusia, maka ia juga boleh dicegah dan boleh dihasilkan lawannya iaitu bersatu dan bersepakat, kerana salah satu prinsip syara’ “Tidak ada taklif melainkan terhadap sesuatu yang mampu dilakukannya”, atau “Tiada taklif terhadap sesuatu yang mustahil”.

• Ketiga : Apabila Ikhtilaf itu sesuatu yang dilarang dalam Syariat Islam, maka sudah tentu ia mazmum (dicela). Ini adalah kerana pada dasarnya yang dicela itu dilarang melakukannya.

Sumber Rujukan :

10 Dr. Abd al-Karim Zaidan (1982), “Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah”, hal : 275. Lihat juga Ibn Taymiyyah (1326H), “Majmu’ al-Fatawa”, Matba’ah Kurdistan. Kaherah. jld : 20. hal : 42


Adab Dalam Khilaf Ulamak 7

• Keempat: Apabila ikhtilaf dilarang atau dicela, maka sesiapa yang terlibat melakukannya akan dikenakan balasan seksa.

Oleh yang demikian timbul persoalan sejauhmanakah boleh berlaku ikhtilaf di antara manusia, dalam ertikata lain adakah ia suatu yang jarang atau sering berlaku, atau sampai kepada tahap mesti berlaku? Adakah orang Islam dikecualikan daripada berlaku khilaf di kalangan mereka atau tidak? Adakah khilaf itu satu jenis sahaja atau berbagai? Adakah celaan itu terhadap semua jenis khilaf atau sebahagian sahaja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan khilaf dan bagaimana menanganinya? Apakah balasan seksaan akan dikenakan ke atas semua orang yang berkhilaf dan lain-lain persoalan yang boleh dibangkitkan.11

Sebenarnya perbincangan ini amat luas, tidak mungkin diperkatakan semuanya dalam kertas yang ringkas ini. Penulis akan memberi tumpuan kepada jenis-jenis khilaf,kaedah-kaedah menangani masalah khilafiyyah dan adab al-Khilaf.

PEMBAHAGIAN KHILAF

Sebelum dibincangkan sebab-sebab khilaf antara fuqaha’ ini, khilaf itu sendiri terbahagi kepada tiga bahagian12:

sumber Rujukan :

11 Dr. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 275-277

12 Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir (1996), al-Urdun. Dar al-Nafais, “Masail fi al-Fiqh al-Muqarin”,
hal : 10



Adab Dalam Khilaf Ulamak 8

1 (Khilaf Yang Diterima)

Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan Memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain
menganggapnya makruh.

الخلاف المذموم . 2
(Khilaf Yang Dicela)

Terdapat khilaf yang keji lagi dicela. Ini berpunca daripada empat
sebab:

• Kejahilan
• Kezaliman dan penderhakaan
• Mengikut hawa nafsu
• Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum Syara’
dan cara mengamalkannya

الخلاف الساثغ المعقول . 3

(Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal)

Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku di kalangan ulama’ mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat’iy. Namun demikian khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:

a. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama

b. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung dengan hukumnya

c. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul

d. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran Khilaf seperti ini juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabi’in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja unutk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan. Ini jelas daripada sabda baginda s.a.w :

“ إذا حكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران ، واذا حكم فاجتهد ثم
أخطاء فله أجر “ ﴿حديث رواه البخارى مسلم﴾

Ertinya : “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan huku man, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescaya mendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”.

SEBAB-SEBAB KHILAF

Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mujtahidin dan masing-masing menjelaskan hujah yang menjadi sandaran kepada setiap masalah yang dihasilkan oleh ijtihad mereka, tetapi perbezaan itu tidak sedikitpun membawa kepada pulau memulau, benci mereka tanpa mengetahui dalil-dalil sandaran hukum yang mereka ijtihadkan. Dalam pada itu mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berlapang dada serta bertolak ansur dalam masalah yang mereka tidak boleh bersatu. Ini disebabkan tabiat masalahmasalah yang dalilnya tidak qat’iy, maka pasti akan berlaku khilaf.

Faktor-faktor khilafiyyah adalah seperti berikut:

Pertama : التفاوت فى العقل والفهم ولقدرة على تحصيل العلم
(Kemampuan Menguasai Ilmu Tidak Sama Dari Segi Akal Fikiran Dan Kefahaman)

Manusia berbeza sesama mereka dari segi paras rupa dan warna kulit dengan perbezaan yang nyata dan ketara. Mustahil terdapat dua orang yang serupa seratus peratus dalam semua keadaan walaupun mereka itu adalah sepasang adik-beradik kembar. Perbezaan ini sebenarnya adalah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sepertimana firmanNya:

ومن ءايته خلق السموات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم، إن فى ذلك
﴾ لأيت للعالمين. ﴿سورة الروم : ٢٢

Ertinya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu” dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.

Perbezaan sesama manusia tidaklah setakat rupa paras dan warna kulit sahaja bahkan perbezaan itu menjangkau jauh lebih daripada itu kepada bakat semulajadi, persediaan, kecenderungan, aliran, akal, kecerdikan, kepintaran, tabiat, naluri dan lain-lain sifat yang membentuk hakikat batin manusia.
Adab Dalam Khilaf Ulamak 9
Perbezaan-perbezaan ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap khilaf fuqaha’. Sebahagian fuqaha’ mempunyai kemampuan yang tinggi dari segi hafazan dan kefahaman, ada di antara mereka yang hafazannya lebih baik daripada kefahamannya. Sementara yang lain pula kefahamannya lebih baik daripada hafazannya.13

Kedua : التفاوت فى الحصيلة العلمية
(Perbezaan Dalam Pencapaian Ilmu)

Di antara faktor besar yang menyumbangkan khilaf fuqaha’ ialah perbezaan
mereka dalam pencapaian ilmu, khususnya tentang al-Quran dan al-Sunnah. Apabila seorang faqih lebih pengetahuannya tentang al-Quran dan al-Sunnah, maka hukumnya lebih hampir kepada tepat.

Sementara itu ayat-ayat al-Quran terbatas bilangannya dapat dihafaz sedangkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w pula banyak tentulah sukar dikuasai
dan dihafaznya. Ini adalah kerana ketika Rasulullah s.a.w memperkatakan
sesuatu atau melakukan sesuatu perbuatan tidak semua sahabat mendengar atau melihat apa yang baginda lakukan atau perkatakan. Maka apabila baginda wafat, sunnahnya tersimpan kepada segolongan sahabat dan tidak semua sahabat yang menghimpun sunnah itu di dalam dada atau buku masing-masing.

Para sahabat pula berlebih kurang tentang menghafaz al-Sunnah, ada di antara mereka yang menghafaz dua atau tiga hadis sahaja, sementara yang lain ada yang menghafaz beribu-ribu dan ada yang sederhana sahaja hafazannya. Ramai sahabat bertebaran di beberapa wilayah Islam, masing-masing menyebarkan sunnah yang dihafaznya kepada penduduk tempatan. Begitulah caranya ilmu dan sunnah Rasulullah s.a.w tersebar luas di seluruh wilayah Islam. Ulama’ setiap negeri itu

Sumber Rujukan :

13 Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir Op cit, hal : 20. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 277.

Perhatian

: Setiap faktor-faktor khilaf ini ada contoh-contohnya, namun untuk mengelak daripada terlampau panjang kertas ini penulis tidak memasukkannya


Adab Dalam Khilaf Ulamak 10

akan memberi fatwa berdasarkan hadis-hadis yang ada pada mereka , jika sesuatu perkara itu tidak ada hadis pada mereka sebagai rujukan mereka akan berijtihad, kadangkala ijtihad mereka menepati hadis dan adakalanya tersalah.

Namun demikian Allah s.w.t telah menyediakan untuk umat ini beberapa tokoh yang mempunyai cita-cita yang tinggi, azam yang kuat dan niat yang bersih, mereka menjelajah seluruh dunia Islam merentasi timur dan barat bagi mengumpulkan sunnah Rasulullah s.a.w dan menyusunnya dalam kitab-kitab al-Sihah, al-Masanid dan al-Ma’ajim.

Sebahagiannya masyhur dikenali ramai dan sebahagiannya tidak masyhur, kesemuanya ini memudahkan untuk mengetahui sunnah Rasulullah s.a.w.

Tetapi untuk menguasai semua sunnah itu amat sulit bahkan mustahil, kerana himpunan hadis begitu banyak. Lebih-lebih lagi arah pandangan ulama’ berbeza dalam menghukum sebahagian hadis, kerana sebahagian ulama’ berpendapat beberapa hadis itu sahih sedangkan yang lain berpendapat hadis itu daif. Ini adalah satu bab yang luas perbincangannya sehingga membawa kepada berlakunya khilaf di kalangan ulama’.14

Ketiga : التفاوت فى الاحاطة بعلوم اللغة العربية
(Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu-ilmu Bahasa Arab)

Allah s.w.t menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab. Firman Allah s.w.t dalam surah Taha ayat 113 :

وكذلك أنزلنه قرءانا عربيا.....

Ertinya : “Dan demikianlah Kami telah menurunkan al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa ‘Arab......

Allah s.w.t memilih Rasul yang terakhir berbangsa Arab bahkan baginda seorang Arab yang paling fasih bahasa Arabnya. Ulama’ tidak dapat memahami al-Quran al-Karim dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w selagimana mereka tidak memahami bahasa Arab.

Perbezaan yang nyata di kalangan ulama’ dalam memahami hukum-hukum Syara’ disebabkan perbezaan mereka memahami Lisan al-Arab, penguasaan terhadap rahsia-rahsia bahasa Arab. Dari sinilah juga akan menyumbangkan khilaf di antara ulama.15

Keempat : الاختلاف فى مدى حجية بعض المصادر الفقهية
(Perbezaan Tentang Kehujahan Beberapa Sumber Hukum)

Khilaf ulama’ dalam hukum-hukum furu’, antara faktornya ialah berlaku khilaf di antara mereka tentang kehujahan sebahagian sumber-sumber yang menjadi sandaran kepada hukum-hukum furu’. Contohnya fuqaha’ telah khilaf tentang kehujahan al-Hadith al-Mursal, al-Qiyas, al-Ijma’, al-’Urf, al-Masalih al-Mursalah, al-Istihsan dan Syar’u Man Qablana.

Setiap mereka yang berpendapat satu-satu sumber itu hujjah akan mengamalkannya dalam mensabitkan sebahagian hukum Syara’. Sementara bagi mereka yang tidak menganggapnya sebagai hujjah akan menolak dan membatalkannya serta hukum-hukum yang dibina ke atasnya selagimana tidak ada dalil yang lain.16

Adab Dalam Khilaf Ulamak 11
Kelima : الاختلاف فى الشروط التى يجب توافرها فى الحديث
الصحيح الذى يجوز الاحتجاج به
(Perbezaan Tentang Syarat-syarat Yang Wajib Dipenuhi Pada Hadis Sahih Yang Boleh Dijadikan Hujah)

Al-Hanafiyyah telah meletakkan syarat bagi beramal dengan Hadith Ahad; hendaklah perawi itu tidak beramal menyalahi apa yang diriwayatkannya, tajuk hadis itu bukan daripada perkara yang umum balwa dan hendaklah hadis itu tidak menyalahi konsep al-qiyas dan dasar-dasar umum dalam Islam khususnya apabila perawi itu bukan seorang yang faqih.

Sementara al-Malikiyyah mensyaratkan Khabar Ahad itu hendaklah selari dengan amal ahl al-Madinah, kerana ianya sama seperti periwayatan daripada Rasulullah s.a.w, sedangkan riwayat orang ramai lebih berhak diamalkannya daripada riwayat seorang sahaja. Lagipun penduduk Madinah lebih mengetahui yang terakhir warid daripada Rasulullah s.a.w.17

Jumhur fuqaha’ pula yang terdiri daripada al-Syafi’iyyah, al-Hanabilah,
al-Zahiriyyah, al-saja’fariyyah dan sebahagian fuqaha’ mazhab lain berpendapat yang pentingnya wajib beramal dengan hadith Ahad itu ialah apabila riwayatnya itu sahih dan berhubung sanadnya dengan Rasulullah s.a.w, maka hendaklah diistinbatkan hukum daripadanya serta dijadikan sebagai sumber perundangan Islam.



Adab Dalam Khilaf Ulamak 12

Sekiranya sanad hadis itu tidak berhubung dalam ertikata hadis mursal, mazhab Syafi’i menerima pakainya dengan syarat ianya daripada mursal kibar al-tabi’in seperti perawinya Sa’id bin al-Musayyib dan mempunyai sanad daripada riwayat lain atau hadis itu selaras dengan kata-kata sahabat atau difatwakannya oleh kebanyakan sahabat. Namun begitu bagi mazhab Ahmad bin Hanbal pula hadith mursal tetap diambil dan diterima pakai apabila tidak ada pada bab yang berkenaan hadis yang berhubung sanadnya.18

Keenam :
الاختلاف فى القواعد الأصولية
(Perbezaan Tentang Beberapa Qawa’id Usuliyyah)

Qawa’id Usuliyyah ialah prinsip-prinsip, metod, manhaj, cara dan kaedah-kaedah yang digubal oleh para mujtahidin sebagai panduan untuk melakukan istinbat hukum-hukum Syara’. Para ulama’ fiqh akan iltizam dengannya bagi mengambil hukum-hukum Syara’ daripada dalil-dalilnya yang tafsili. Khilaf dalam Qawa’id Usuliyyah adalah di antara faktor-faktor yang menyumbangkan khilaf dalam hukum-hukum furu’.

Qawa’id Usuliyyah ini sebahagian merujuk kepada bahasa Arab dan sebahagian yang lain merujuk kepada akal. Di antara contoh-contoh khilaf tentang Qawa’id Usuliyyah adalah seperti berikut:

18 Ibid.

١. الاختلاف فى تحديد معنى اللفظ المشترك
٢. الاختلاف فى حمل الأمر على الوجوب أو على الندب
٣. الاختلاف فى حمل النهي على التحريم أو الكراهة


Adab Dalam Khilaf Ulamak 14
الاختلاف فى دلالة النص على مفهومه المخالف

Ketujuh : الاختلاف فى القراءت فى القرآن الكريم
(Khilaf Tentang Qiraat Dalam al-Quran al-Karim)

Kelapan : الاختلاف بسبب تعارض الادلة
(Khilaf Disebabkan Percanggahan Dalil-dalil)19

KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH

Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati dikalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf dikalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.


Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan ke-pada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pastiberlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelumini.

Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhabsahaja. Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain.

Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF

Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya.

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentimen ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum.


Adab Dalam Khilaf Ulamak 15

Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

2. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga.

Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.


3. Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’-ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.20

4. Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

5. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه “

Maksudnya : “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya”.21


sumber Rujukan :

20 Abd al-Karim Zaydan, Op cit, hal : 413

21 Al-Suyuti (1998) Beirut. Dar al-Kitab al-’Arabi, “al-Asybah wa al-Nazair”, hal : 292



Adab Dalam Khilaf Ulamak 16

6. Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah.

7. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

8. Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

9. Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

10. Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:

“ نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.



Adab Dalam Khilaf Ulamak 17
11. Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah

“ “ الخروج من الخلاف مستحب
( Keluar dari khilaf itu digalakkan)

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan beberapa panduan dalam menghadapi masalah khilafiyyah dengan mengatakan seperti berikut:22

Sumber Rujukan :

22 Al-Qaradawi (1992), “al-Sahwah al-Islamiayyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum”. Dar al-Wafa’.
Kaherah. Hal : 57 dan 189
الدعائم الفكرية فى فقه الاختلاف

١. الاختلاف فى الفروع ضرورة ورحمة وسعة
٢. اتباع المنهج الوسط وترك التنطع فى الدين
٣. التركيز على المحكمات لا المتشاهات
٤. تجنب القطع والإنكار فى المسائل الاجتهادية
٥. ضرورة الاطلاع على اختلاف العلماء
٦. تحديد المفاهيم والمصطلحات
٧. شغل المسلم هموم أمته الكبرى
٨. التعاون فى المتفق عليه
٩. التسامح فى المختلف فيه
١٠ . الكف عمن قال ﴿لا إله إلالله﴾


Adab Dalam Khilaf Ulamak 19

BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH

1. Membaca doa Qunut.

2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.

3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.

4. Talqin mayat setelah dikebumikan.

5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.

6. Fidyah sembahyang.

7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.

8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan
perempuanyang harus dikahwini.

9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.

10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8

11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat

12. Maulid al-Rasul s.a.w.

13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.

14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.

15. Aqiqah dengan kambing sahaja.

16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:


“ أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “

Atau

“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والح
Adab Dalam Khilaf Ulamak 20
SIKAP ULAMA’ TERHADAP MASALAH KHILAFIYYAH


Ulama’-ulama’ kita di kalangan rumpun bangsa Melayu di Malaysia,Patani, Kemboja, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan Selatan Filipina umumnya pengikut mazhab Syafi’i semenjak Islam mula mengembangkan sayapnya di daerah ini dan mereka amat arif tentang masalah khilafiyyah bersikap cukup terbuka dan sederhana sekali.

Para ulama’ kita dari Seberang Perai, Pulau Pinang yang terkenal dengan kealimannya seperti al-Marhumin Syeikh Zain al-’Abidin bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tuan Minal dari Permatang SungaiDua, Kepala Batas, Syeikh Tuan Husin al-Banjari Pokok Sena, SyeikhAbdullah Fahim Kepala Batas, Syeikh Tuan Haji Othman Jalaluddin al-Kelantani dan Tuan Haji Muttalib, Pondok Kubang Hulu, Penanti,

Syeikh Tuan Haji Saleh al-Masri dan Haji Ahmad al-Masri, Masriyyah Tanah Liat, Bukit Mertajam, Syeikh Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena, Tuan Syeikh Haji Adnan, Mufti Pulau Pinang dan Tuan Haji Yusuf Sungai Bakap. Di negeri Perak pula ulama’ terkenal seperti al-Marhumin Tuan Guru Syeikh Zubair Mudir al-Madrasah Idrisiyyah Kuala Kangsar, Tuan Guru Haji Muhammad Saman Kati, Tuan Guru Haji Adb al-Samad Nuh PadangRengas, Dato’ Tuan Haji Ghazali Haji Arsyad Batu 26 Bagan Datuk,

Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Malim Nawar, Ustaz Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Sungai Petani, Bukit Gantang dan mufti-mufti Perak yang telah meninggal dunia.


Adab Dalam Khilaf Ulamak 21

Sementara di Kedah, tokoh-tokoh ulama’ dan tuan-tuan guru yang telah melahirkan ribuan ulama’ dan pendakwah antaranya dari daerah Pendang yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir (Pak Cu Him) Pondok Gajah Mati, Haji Ahmad Rubab Pondok Chegar, Tuan Haji Ibrahim Pondok Batu Hampar dan Tuan Haji Abdul Aziz Haji Ibrahim Pondok Pendang. Di daerah Alor Star pula, Tuan Haji Abd Rahman Syeikhul Islam Kedah, Dato’ Mursyid DiRaja Haji TajuddinPondok Melele, Tuan Haji Itam Pondok Tanjung Bedil, Tuan Haji Abu Bakar Pelastin Pondok Air Hitam dan Tuan Haji Abdullah Saghir Pondok Langgar.

Ulama’ daerah Guar Cempedak pula ialah Tuan Haji Othman Madrasah al-Nahdah, Bukit Besar, Tuan Haji Yahaya Junaid Madrasah Taufiqiyyah, Batu 16, Tuan Haji Abd Majid dan Tuan Haji Husin Che Dol, Guar Cempedak.

Ulama’ Sungai Petani yang terkenal ialah Tuan Haji Yahaya Pondok Kampung Pisang, Kupang dan Tuan Haji Umar Pondok
Lanai. “ “
غفرلله لهم ولنا أجمعين


Saya yakin mereka ini kesemua amat memahami masalah khilafiyyah dan tidak sedikitpun menimbulkan ketegangan dalam masyarakat pada zaman mereka, malah saling memahami dan sering melakukan muzakarah dalam suasana mahabbah dan kasih sayang kerana Allah s.w.t. Oleh kerana mereka amat faham adab dan akhlak dalam masalah khilafiyyah inilah, maka mereka amat dihormati, disanjungi dan dipelajari ilmu Islam dari mereka. Walaupun kemungkinan ada masalah yang mereka tidak setuju kerana berbeza pandangan dan pendapat tetapi mereka tetap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.


Adab Dalam Khilaf Ulamak 22

PENUTUP


Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

والله أعلم بالصواب

pengharapanku & cita-citaku hidup di dunia & akhirat


"aku ingin menjadi sorg yg maantop dlm ilmu agama,
namun diriku bkanlah berasal daripada sekolah agama,
namun ap pun ak tetap tabah dalam cabaranku, yg ku harapkan ak mati dalam islam, iman , husnul khatimah & berada di kalangan orang-orang yg soleh. " Ya Allah jadikanlah aku beragama spertimana penghulu kami nabi Muhammad s.a.w, jdikanlah aku islam spertimana orang yang beragama islam, jadikanlah imanku spertimana orang2 yang beriman, jadikanlah solatku sepertimana solat org yang khusyuk, jdikanlah amal aku sepertimana orang yang beramal soleh, jadikanlah niatku niat yang ikhlas & sempurna, jadikanlah hidupku sepertimana hidup seorang ulamak, ampunkanlah dosaku spertimana dosa orang yang terampun , matikanlah aku serpertimana para shuhada & masukanlah aku ke dalam syurga bersama para anbiya" imin ya robbal alamin

Hukum Membaca al Quran dan Menghadiahkan Kepada Orang yang Telah Meninggal Dunia



Hukum Membaca Al Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada Orang Yang Sudah meninggal dunia

Persoalan mengenai bid'ah sebenarnya telah diselesaikan oleh ulamak lama dahulu dan sekarang ini telah ditimbulkan semula oleh golongan yang tidak memahami khilaf ijtihad ulamak yang kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah bid'ah sesat walaupun sudah ada dalil dan hujjah dari al Quran dan hadith.

Sekiranya ada yang mengatakan bacaan al Quran dan doa ia tidak sampai kepada simayyit maka tidak perlu mengatakan ia sebagai bid'ah, kerana ijtihad yang memngatakan ia boleh adalah hasil dari penyelidikan ulamak dari al Quran dan hadith sebelum mengeluarkan hukum bahawa sampainya pahala kepada si mayyit. Ulamak terdahulu apabila berbeza pendapat mereka tidak akan membid'ahkan pendapat ulamak yang membolehkan.

Menurut Prof Dr Wahbah az Zuhaili Mazhab Imam Ahmad dan Jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi'iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Imam Abu Hanifah berpendapat :
"Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : "Bacalah ayat Kursi tiga kali' dan "qul huwaLLahu Ahad" dan katakanlah : "Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur."


Dali dari Al Quran

Asy Sya'ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari KitabuLLah, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya. Adapun dalil dari Al Quran adalah firman aLLah s.w.t yang bererti :
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman..........." (Al Hasyr : 10)


Maka ALLah s.w.t memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa adalah kesepakatan umat atas doa terhadap mereka dalam solat jenazah.

Juga telah ijmak bahawa membayar hutang orang yang sudah meninggal adalah boleh sama ada oleh kerabat atau bukan. Dan juga jika orang yang masih hidup memiliki hak pada orang yang sudah meninggal, lalu ia menggugurkan haknya dan mengikhlaskannya, maka hal itu boleh dan dapat membebaskan orang yang sudah meninggal.

Dalil Dari Hadith :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."


(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)




Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata
"Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya)


Imam al Nawawi, al majmu' syarh al muhazzab jilid V h 286.

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al Baqarah di sisinya ketika dikebumikan. Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya 'Al Mughni (2/567) di dalam masalah: Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Al-Mukmin:60

Antara ulamak terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, dan ramai lagi.

Sumber Rujukan :

1. Prof Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani, Kajian Mendalam ke Atas Manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah, Tahqiq al amal fi ma yan fa'u al mayyitu min al a'mal, Jahabersa, 2007, Johor

2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

3. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili, Fatwa-fatwa Semasa, al Fatawa al mu'asaroh, iBook Publication, 2005, Kuala Lumpur

4. Dr Mustofa al Khin, Dr Mustofa al Bugho & Ali Asy Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, al Fiqhu al Manhaji, Pustaka Salam, 2005. Kuala Lumpur.

WaLlahua'lam

Fahami Agama Melalui Tokohnya



Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.
Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.
Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.
Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.
Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.
Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.
Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.
Terlalu liberal
Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.
Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.
Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.
Sebelum ini kita juga ada mendengar 'ayat-ayat' liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan 'ijtihad' mereka.
Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.
Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.
Nas lawan pandangan tokoh?
Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.
Apakah yang kita maksudkan dengan kecenderungan terlalu literal ini? Ia boleh dirujuk kepada sikap terlalu berpegang kepada maksud zahir atau literal nas-nas hukum tertentu sambil mengenepikan tafsiran dan takwilan (makna di sebalik yang zahir) ulama-ulama muktabar terhadap nas-nas tersebut.
Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.
Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.
Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.
Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An'am, ayat 57 yang bermaksud,
Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).
Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.
Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.
Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.
Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.
Memperlagakan
Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.
Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.
Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.
Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.
Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.
Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.
Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.
Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.
Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.
Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.
Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan.
Sumber : http://yayasansofa.com/